Seorang petani meracun sawahnya di Sekinchan, Selangor. Foto HAFIZ OTHMAN
AGENDANASIONAL

Selangor berpotensi jadi negeri pertanian teknologi tinggi

SHAH ALAM, 7 SEPT: Selangor berpotensi menjadi negeri pertanian berteknologi tinggi hasil pelbagai kemudahan sedia ada, kata ahli tetap Majlis Penasihat Pertanian Malaysia.

Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad berkata negeri ini mempunyai asas, pengguna dinamik, buruh mahir, infrastruktur terbaik serta pelbagai teknologi moden yang boleh mengembangkan bidang pertanian.

“Jadi produk bahan mentah sangat baik untuk pertanian, sektor makanan dan minuman serta perkhidmatan agro.

“Di sini letaknya masa depan Selangor. Jangan terpengaruh fakta pertanian merupakan sumbangan kecil. Tanpa sektor ini dan makanan kita tak boleh hidup kerana itu perkara asas,” katanya ketika menjadi panel Dialog Pertanian, Pelancongan dan Agropelancongan Belanjawan 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Menurutnya, penularan Covid-19 sehingga kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac mendedahkan kesalahan masa silam negara yang tidak melihat pertanian sebagai industri penting.

“Masa PKP kita terkapai-kapai cari makanan mujur pekebun kecil banyak membantu kita.

“Jangan ketepikan industri ini. Kita kaya dengan sumber makanan jadi gunakan peluang ini,” katanya.


Pengarang :