AGENDANASIONAL

Wakil rakyat puji Selangor kekal elaun kakitangan masjid, surau

SHAH ALAM, 16 SEPT: Keputusan Kerajaan Selangor mengekalkan elaun bulanan kakitangan masjid dan surau di negeri ini dipuji wakil rakyat Hulu Langat.

Hasanuddin Mohd Yunus turut mengucapkan tahniah kepada pimpinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang bersetuju menampung jumlah tersebut dengan dana RM3 juta.

“Peranan nazir, ahli jawatankuasa, bilal dan siak sangat penting dalam mengangkat syiar serta aktiviti pembangunan penghayatan Islam dalam masyarakat.

“Saya ucapkan tahniah kepada Kerajaan Pakatan Harapan Selangor kerana memahami kedudukan kewangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan bertindak menampung RM3 juta untuk melaksanakan pelarasan elaun tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara itu juga berharap komunikasi antara agensi kerajaan dengan pejabat Dato’ Menteri Besar diperkukuh supaya keputusan mengejut tidak lagi berulang.
Amirudin dalam kenyataan hari ini memaklumkan elaun bulanan kakitangan masjid dan surau dikembalikan pada kadar asal bagi tempoh Mei hingga Disember ini.

Elaun bulanan yang dikekalkan meliputi bilal 1 sebanyak RM290, bilal 2 (RM200), nazir (RM250), siak 1 (RM240), siak 2 (RM150) sementara timbalan nazir, setiausaha dan bendahari mendapat RM100.

Keputusan pelarasan elaun oleh LZS dibuat bagi memberi keutamaan untuk membantu asnaf susulan kutipan zakat merosot hampir 20 peratus kesan penularan Covid-19.


Pengarang :