Pelajar mengamalkan penjarakan sosial satu meter semasa menunggu giliran untuk menaiki bas ketika proses penghantaran pulang pelajar IPT ke kampung halaman di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaya pada 27 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

1,442 memohon bantuan prihatin mahasiswa dalam 24 jam

SHAH ALAM, 5 OKT: Program Bantuan Prihatin Mahasiswa Darul Ehsan menerima 1,442 permohonan daripada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dalam tempoh 24 jam.

Timbalan presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor berkata 1,000 daripada jumlah permohonan itu membabitkan bantuan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman manakala makanan (400) serta pengangkutan (42).

“Untuk pelajar membuat permohonan awal, bantuan akan mula diagihkan esok sekiranya tiada masalah. Kita menjangkakan permohonan akan meningkat selepas ini.

“GPMS Selangor bersama pasukan lain yang bekerjasama dalam program ini sudah bersedia membantu mahasiswa terjejas dan ia merupakan sinergi cukup bagus kerana isu (mahasiswa) kali ini sangat serius,” kata Syed Mohsen Syed Bakar Alkaff kepada SelangorKini.

Semalam, Kerajaan Negeri melalui Kaukus AHli Dewan Negeri Muda Selangor melancarkan program berkenaan bagi meringankan beban penuntut di IPT susulan peningkatan kes Covid-19.

Bantuan awal itu digerakkan dengan kerjasama GPMS, Team Selangor, Mahasiswa KEADILAN dan Biro Mahasiswa AMK Malaysia.

Syed Mohsen berkata pelajar yang terkandas dan memerlukan bantuan pulang ke kampung susulan penangguhan pendaftaran dinasihatkan jangan panik kerana program tersebut berusaha memastikan kebajikan mereka terjamin.

“Saya ada berhubung dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti dan difahamkan ada yang membenarkan pelajar menginap di asrama kampus. Maka tiada isu mereka perlu balik, cuma terdapat dua atau tiga universiti belum mengizinkan,” katanya.

Mahasiswa yang memerlukan bantuan boleh merujuk kepada pautan:
– Borang Edaran TS Care Kit (IPTS): http://bit.ly/mdekatA
– Borang Bantuan Makanan Siswa Kampus Selangor (IPTA Sahaja): http://bit.ly/mdekatB
– Borang Bantuan Pengangkutan Anak Negeri Selangor: http://bit.ly/mdekatC


Pengarang :