Speaker Program ADN Muda, Elizabeth Wong ketika Sesi Perbahasan Program ADN Muda Secara Maya di Dewan Annexe, Shah Alam pada 3 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN Muda disaran berkhidmat di PKM, rasai tugas sebenar wakil rakyat

SHAH ALAM, 4 OKT: Pembahas program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda disaran mengambil peluang berbakti kepada masyarakat bagi merasai tanggungjawab sebenar wakil rakyat.

Speaker program Elizabeth Wong berkata peserta boleh menghubungi mana-mana ADN atau ahli parlimen Selangor untuk menawarkan khidmat mereka di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM).

“Kita mahu pastikan pengalaman ditimba setiap peserta ADN Muda melalui program ini tidak berhenti begitu sahaja sebaliknya diteruskan dengan membuat kerja amal dan memberi perkhidmatan terbaik terhadap rakyat.

“Walaupun mereka (peserta) pandai membuat perbahasan tetapi apa yang lebih penting adalah memberi perkhidmatan kepada rakyat. Kedua-dua aspek ini perlu diseimbang dan diutamakan,” katanya pada Program ADN Muda Virtual semalam.

Elizabeth yang juga ADN Bukit Lanjan kagum dengan hujah dan pandangan dikemukakan peserta malah sedia menggunakan idea sesetangah daripada mereka untuk dibahas pada sidang DNS November depan.

“Ini membuktikan anak muda di Selangor sememangnya memiliki keyakinan dan pengetahuan luas dalam menyelesaikan masalah rakyat setempat hasil kajian cukup teliti.

“Saya juga percaya mereka sedia untuk mengambil kerusi kami (ADN) Selangor pada masa hadapan, jadi syabas diucapkan kepada semua peserta yang sudah mengambil bahagian dalam program ini,” katanya.


Pengarang :