Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 26 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: 799 kes positif baharu, 466 di Sabah

PUTRAJAYA, 30 OKT: Sebanyak 799 kes baharu Covid-19 dicatatkan hari ini dengan 636 atau 79.6 peratus daripadanya adalah di Sabah serta Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 466 kes dikesan di Sabah manakala Selangor 150 kes, Kuala Lumpur 19 kes dan Putrajaya satu kes.

Dalam pada itu, Labuan mencatatkan 65 kes, Pulau Pinang (35), Negeri Sembilan (23) , Sarawak (16), Perak (10), Johor (sembilan) dan Kedah (lima) .

Katanya jumlah kes pulih yang dilaporkan pula ialah 491 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih Covid-19 ialah 20,248 kes, iaitu 65.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 30,889 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 10,392 kes,” katanya pada sidang media perkembangan situasi Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata 29 kes daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini adalah berkaitan dengan kluster daripada penjara iaitu Kluster Penjara Reman 20 kes, Kluster Penjara Kepayan (enam) dan Kluster Tembok (tiga) .

Katanya sehingga kini terdapat 90 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 20 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan

Beliau berkata hari ini terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan Covid-19, kesemuanya di Sabah.

“ Jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah 249 kes (0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :