Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Covid-19: Tiada Bazar Deepavali di Klang

SHAH ALAM, 10 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) membatalkan penganjuran Bazar Deepavali di Lorong Tingkat tahun ini susulan peningkatan kes Covid-19 di daerah berkenaan.

Yang Dipertuanya Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata langkah tersebut bagi membendung penularan wabak di kawasan itu yang kini diisytihar zon merah.

“Pandemik Covid-19 melanda dunia termasuk Klang yang mengancam kelangsungan dan kesejahteraan hidup masyarakat. Perkara yang perlu diberi perhatian ialah pembukaan tapak bazar perayaan Deepavali.

“Disebabkan kebelakangan ini kes di kawasan Klang semakin meningkat, MPK membuat keputusan untuk tidak menganjurkan bazar tersebut tahun ini,” katanya dalam kenyataan.

Ketika ini, sebanyak 97 kes Covid-19 sedang dirawat di daerah berkenaan.

Bermula semalam sehingga 23 Oktober, sebanyak 36 kawasan perumahan di mukim Klang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.


Pengarang :