PBTSELANGOR

Kemudahan laluan basikal usaha MBSA capai bandar rendah karbon 2030

SHAH ALAM, 1 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan laluan basikal bagi mencapai sasaran perkongsian 40 peratus penggunaan pengangkutan awam dan Shah Alam Bandar Rendah Karbon menjelang 2030.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata inisiatif bermula sejak 2015 juga memberikan kemudahan rekreasi kepada orang awam dan peruntukan RM4 juta digunakan bagi pembinaan laluan basikal fasa I sepanjang sembilan kilometer (KM).

“Laluan basikal fasa I memberi tumpuan kepada jalan basikal di kawasan kejiranan seperti di Seksyen 4, 5 dan 6 ke pusat bandar yang disediakan berasingan dari jalan raya yang lebih fokus kepada penyediaan kemudahan riadah.

“Lanjutan daripada itu, laluan basikal fasa IA disediakan di pusat bandar, Seksyen 14 menggunakan sebahagian rizab jalan berkelebaran satu meter kerana kawasan yang terhad. Laluan fasa itu tertumpu memberi kemudahan capaian di sekitar pusat bandar,” kata Shahrin Ahmad kepada SelangorKini.

Beliau menjelaskan laluan dengan kos RM1.6 juta sepanjang 15KM itu siap sepenuhnya pada Disember 2018 menghubungkan kawasan tumpuan seperti Kompleks PKNS, perumahan dan komersil Vista Alam, Studio 14, hotel, Dataran Shah Alam, Tasik Shah Alam dilengkapi 15 unit kemudahan tempat letak basikal diintegrasikan dengan pondok bas.

Shahrin berkata MBSA turut melaksanakan laluan basikal fasa II di Seksyen 7 dengan kos RM1.9 juta dilengkapi empat unit tempat letak basikal, lintasan basikal dan papan tanda selain menjadi pelengkap perkhidmatan bas terutama bas Smart Selangor disediakan MBSA.

“Projek laluan basikal fasa II adalah kesinambungan kepada projek terdahulu seperti dirancang di dalam Kajian Penyediaan Trek Basikal Shah Alam. Laluan basikal ini disediakan secara berasingan mengunakan rizab jalan dan longkang terbuka dan sepanjang 5KM.

“Jajaran cadangan laluan basikal ini dipilih berdasarkan sesi perbincangan berkumpulan dilaksanakan MBSA bersama pihak berkepentingan seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Selangor (Unisel) dan penduduk Seksyen 7 pada 17 Disember 2018,” katanya.


Pengarang :