Orang awam dilihat mematuhi tatacara operasi (SOP) dengan memakai pelitup muka ketika tinjauan di sekitar Bandar Klang pada 15 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan pertimbang banyak perkara sebelum kuat kuasa PKPD

SHAH ALAM, 19 OKT: Pelbagai perkara perlu dipertimbangkan kerajaan sebelum melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata asas pertimbangan meliputi kesan ekonomi kepada negara dan individu yang bekerja dalam sektor tertentu.

“Saya terima banyak pandangan (penguatkuasaan PKPD) memandangkan terlampau banyak kes Covid-19, namun jika dilaksana bermakna setiap individu tidak boleh keluar rumah dan makanan mesti dihantar.

“Sektor ekonomi akan ditutup dan peniaga tidak dibenar meneruskan perniagaan. Ini juga menjejaskan mereka yang bergantung hidup dengan jualan atau gaji harian,” katanya pada sidang media hari ini.

Ismail Sabri mengulas dakwaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini
seolah-olah longgar dan tidak berkesan dalam mengekang penularan Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia sedang membuat penilaian terperinci sebelum menetapkan sebarang keputusan.

“Kita juga mendapatkan pandangan daripada kementerian berkaitan sektor ekonomi dan akan membuat keputusan selepas rumusan (kementerian berkaitan) diperoleh,” katanya lagi.


Pengarang :