Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Putrajaya pada 3 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19 catat 865 kes baharu, 455 berjaya sembuh

SHAH ALAM, 19 OKT: Sebanyak 865 kes baharu Covid-19 dicatat hari ini, kali ketiga berturut-turut merekod bilangan kes melebihi 800.

Kes tertinggi dicatat semalam iaitu 871, manakala 869 kes dilapor pada 17 Oktober. Keseluruhannya, sebanyak 21,363 kes dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 455 pesakit berjaya sembuh dengan keseluruhan yang pulih 13,717 kes.

“Sabah kekal mencatatkan pertambahan kes baharu tertinggi iaitu 643 kes atau 74.3 peratus daripada jumlah kes baharu, manakala kawasan Lembah Klang pula 119 kes, termasuk 101 kes di Selangor, enam kes di Kuala Lumpur dan tiga kes di Putrajaya.

“Sehingga kini, seramai 99 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 32 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat tiga kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah terkumpul kes kematian disebabkan Covid-19 di negara ini sebanyak 190 kes atau 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

 


Pengarang :