Pelancong asing menaiki beca untuk bersiar-siar di Pulau Pinang. Foto BERNAMA
AGENDANASIONALPELANCONGAN

Pemain industri pelancongan digesa ketatkan SOP – Nancy

LENGGONG, 1 OKT: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menggesa pemain industri pelancongan memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang tinggi dalam kalangan pelawat bagi mengekang penularan kes Covid-19 yang kini sedang meningkat di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata penularan kes di hampir setiap negeri itu boleh menjadi petanda buruk kepada sektor berkenaan yang kini dalam proses pemulihan.

Walaupun jumlah kes tidak begitu besar, perkara itu tetap menakutkan bagi pelancong, katanya kepada pemberita selepas melawat Tapak Warisan Dunia Arkeologi Lembah Lenggong di sini hari ini.

“Jadi ia boleh memberi kesan kepada ekonomi dan diharapkan (aktiviti pelancongan) terus kekal seperti sedia ada dengan amalan mematuhi SOP yang ketat supaya orang ramai yakin untuk melawat tempat pelancongan di dalam negara,” tambahnya.

Mengenai Tapak Warisan Dunia Arkeologi Lembah Lenggong, Nancy berkata keunikan dan kemudahan fasiliti di lokasi yang menerima pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) itu diyakini dapat menarik ramai pelancong, sekali gus memberi sokongan terhadap industri pelancongan tempatan.

“Kita akan membangunkan bahagian-bahagian tertentu kawasan ini supaya menjadi lebih moden untuk menarik lebih ramai pengunjung dalam usaha menambah produk pelancongan domestik kita selain bekerjasama dengan kerajaan negeri Perak,” katanya.

Antara tarikan yang ditawarkan ialah Galeri Arkeologi Lembah Lenggong yang menempatkan Orang Perak atau “Perak Man” iaitu rangka manusia tertua yang pernah dijumpai di Malaysia dan paling sempurna dari zaman baru Paleolitik yang ditemukan pada 1991.

– BERNAMA


Pengarang :