SELANGOR

PKPB: Operasi Uptown Shah Alam bermula 4 petang hingga 10 malam

SHAH ALAM, 14 OKT: Operasi perniagaan di Uptown Shah Alam dibuka jam 4 petang sehingga 10 malam mulai hari ini, kata pengurus komunikasi korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Jelasnya, perubahan itu selaras dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bermula hari ini.

“Sebelum ini waktu operasi bermula dari jam 4 petang hingga 12 malam, tetapi ketika PKPB, kita pendekkan waktu hingga jam 10 malam sahaja dan ia membabitkan 430 peniaga.

“Semua peniaga di Uptown Shah Alam boleh menghubungi Bahagian Jualan Hartanah Wilayah Utara PKNS untuk maklumat lanjut,” kata Mahfizul Rusydin Abd Rashid dalam kenyataan.

Menurut beliau lagi, PKNS juga mengambil langkah berjaga-jaga bagi mencegah penularan Covid-19 di Uptown Shah Alam.

“Kita buat pemeriksaan suhu di pintu masuk serta menangguhkan acara-acara yang melibatkan perhimpunan ramai.

“Diingatkan supaya semua pengunjung Uptown Shah Alam untuk terus patuh menjaga jarak fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka,” katanya.


Pengarang :