Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Perdana Putra pada 24 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKPD di tiga kampung daerah Kudat mulai 30 Okt – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Tiga kampung di daerah Kudat, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 30 Oktober hingga 12 November berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan terbabit adalah Kampung Pengaraban, Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Landung Ayang melibatkan 2,393 unit rumah serta 13,884 penduduk.

“Tatacara operasi piawai (SOP) PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Bagaimanapun, kedai runcit dibenarkan beroperasi dari 6 pagi sehingga 6 petang bagi memberi peluang kepada penduduk membeli barang keperluan asas,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Sementara itu Ismail Sabri berkata Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Labuan pula dilanjutkan selama 14 hari lagi bermula 31 Oktober sehingga 13 November kerana masih terdapat peningkatan kes positif.

“Sebelum ini PKPB di Labuan telah diisytiharkan bermula 17 sehingga 30 Oktober KKM (Kementerian Kesihatan) masih meneruskan saringan secara bersasar kepada penduduk di Labuan dan sehingga kini masih terdapat peningkatan kes positif yang dikesan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 508 individu ditahan semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan daripada jumlah itu, seramai 501 individu dikompaun, enam lagi direman manakala seorang dijamin.

Ismail Sabri berkata antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak memakai pelitup muka (160), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (113), ingkar penjarakan fizikal (97), premis beroperasi lebih masa (33), aktiviti di pusat hiburan (10) dan lain-lain (95).

Katanya tiga negeri yang mencatatkan jumlah individu dikompaun atas kesalahan ingkar arahan PKP tertinggi adalah Kuala Lumpur (192 individu), Selangor (155 individu) dan Sabah seramai 36 individu.

Mengulas mengenai Operasi Benteng, beliau berkata seramai 18 warga asing telah ditahan dan tiga kenderaan darat berjaya dirampas semalam.

“Ada pengurangan daripada jumlah tangkapan, kaedah kita kali ini adalah lebih kepada mengusir (pendatang tanpa izin) daripada menangkap mereka.

“Kita akan menanggung kos tinggi untuk menjaga mereka dan pada masa yang sama, ini membahayakan kerana ada kemungkinan mereka membawa virus Covid-19, jadi sebelum masuk kawasan sempadan, kita usir mereka keluar,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 55,833 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 64 hotel serta 17 premis lain termasuk institut latihan awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 381 individu telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 46,450 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

– BERNAMA

 

 


Pengarang :