Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bertitah ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal ketiga Dewan Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 16 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan titah kerajaan persekutuan, negeri segera atasi isu air

SHAH ALAM, 19 OKT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan Kerajaan Selangor dan persekutuan supaya segera menyelesaikan masalah bekalan air.

Setiausaha sulit kepada Sultan Selangor berkata baginda juga banyak kali menulis surat kepada kedua-dua kerajaan itu sejak 2009 supaya isu itu tidak dipolitikkan.

“Baginda amat dukacita dengan keluhan dan nasib rakyat yang kini sedang bergelut dengan wabak Covid-19, terpaksa pula berdepan dengan masalah gangguan bekalan air yang terus berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” kata Datuk Muhamad Munir Bani dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Sultan Sharafuddin juga memberi nasihat dan beberapa syor dalam surat kepada Dato’ Menteri Besar, Dato Seri Amirudin Shari pada 8 September lalu berhubung isu sama.

Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi tadi.

Henti tugas empat loji itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1.2 juta akaun pengguna merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.


Pengarang :