Atlet wushu Selangor menjalani latihan bagi persiapan Sukma di Pusat Latihan Wushu Selangor, Rawang pada 5 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Atlet terus berlatih, jurulatih digesa uji kecergasan secara maya

SHAH ALAM, 8 NOV: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor meminta semua atlet ke Sukan Malaysia (Sukma) terus mengikuti modul latihan susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 6 Disember hadapan.

Pengarah eksekutifnya berkata jurulatih turut disaran membuat ujian kecergasan secara maya dan melaporkannya kepada MSN bagi memastikan atlet terus berada pada tahap kecergasan diperlukan.

“Tempoh PKPB bersambung empat minggu bermula esok memang menjejaskan persiapan atlet ke Sukma. Dua bulan tanpa latihan secara intensif akan mempengaruhi kemahiran atlet.

“Corak latihan juga telah diubah sesuai dengan tatacara operasi piawai (SOP) seperti menghadkan jumlah pelatih pada satu-satu masa dan latihan fizikal di kawasan terbuka,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi.

Beliau berkata MSN Selangor akan sentiasa akur dengan keputusan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 dengan atlet dinasihatkan mematuhi SOP PKPB serta mengekalkan kecergasan dan menjaga pemakanan.

Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini mengarahkan semua fasiliti sukan dan rekreasi ditutup sementara susulan perintah kawalan tersebut.

Bagaimanapun Majlis Keselamatan Negara memaklumkan aktiviti sukan tidak bersentuhan dan dijalankan secara individu tidak melebihi 10 orang serta di kawasan terbuka masih dibenarkan.


Pengarang :