AGENSISELANGOR

KPDNHEP Selangor jamin barangan cukup, elakkan pembelian panik

SHAH ALAM, 8 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor jamin barang keperluan asas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mencukupi.

Berikutan itu, pengarahnya menasihatkan orang awam supaya tidak melakukan pembelian panik serta berbelanja secara berhemah.

“KPDNHEP Selangor akan memastikan peniaga tidak memanipulasi harga barangan hingga membebankan pengguna.

“Operasi dan pantauan di sembilan daerah negeri ini akan diteruskan dari semasa ke semasa membabitkan 277 anggota bagi memastikan peniaga patuh,” kata Muhamad Zikril Azan Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu hingga semalam, pihaknya meneriman 6,526 aduan termasuk 2,061 berkaitan harga barangan.

“Dalam tempoh sama kami telah melakukan pemeriksaan terhadap 8,900 premis meliputi pemborong, pembekal, pasar raya, pasar mini dan kedai runcit serta pasar awam,” katanya.

Semalam, kerajaan memaklumkan PKPB di negeri ini disambung sehingga 6 Disember selaras dengan pelaksanaannya di beberapa negeri lain Semenanjung Malaysia.


Pengarang :