Dato’ Seri Amirudin Shari ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di Dewan Negeri Selangor pada 30 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Belanjawan Selangor 2021: Realiti hidup rakyat bersama Covid-19

SHAH ALAM, 3 NOV: Belanjawan Selangor 2021 dibentangkan Jumaat lalu bertepatan realiti baharu kehidupan didepani rakyat dalam suasana pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata susulan itu, pengalaman tiga bulan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi asas dalam setiap saluran peruntukan demi kepentingan dan kebajikan rakyat.

“Kita kena terima hakikat virus itu tak akan capai angka kosong setiap waktu dan hari tetapi kita mesti teruskan kehidupan, aktiviti perniagaan atau sosial.

“Kalau tidak, kehidupan dan penghidupan akan tempang. Kita kena seimbangkan dan inilah cabaran kita,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika bersiaran di Astro Awani malam ini.

Susulan itu, beliau meminta rakyat supaya tidak berputus asa dan perlu meneruskan kehidupan serta aktiviti sosial dengan kaedah berbeza.

“Selain mengamalkan pemakaian pelitup muka dan kebersihan, rakyat juga harus bersedia dengan norma baharu daripada segi kehidupan seperti transaksi perniagaan, kerja dari rumah dengan komputer riba serta dikelilingi anak,” katanya.

Pada 30 Oktober lalu, Amirudin membentangkan Belanjawan Selangor 2021 dengan anggaran peruntukan RM2.32 bilion, membabitkan RM1.22 perbelanjaan mengurus dan RM1.103 bagi pembangunan.


Pengarang :