Keadaan banjir kilat di Sungai Serai masih tidak surut pada jam 6 petang ketika tinjauan pada 4 November 2020. Foto: BERNAMA
AGENSISELANGOR

Bomba pantau banjir Hulu Langat, bantu pindah mangsa

SHAH ALAM, 4 NOV: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor memantau keadaan sekitar Dengkil dan Batu 10, Hulu Langat bagi memastikan mangsa banjir pantas mendapat bantuan.

Penolong pengarahnya berkata aliran air dari Hulu Langat kini sudah memasuki dua kawasan berkenaan dan berkemungkinan akan menjejaskan beberapa kawasan perumahan.

“Anggota kini ditempatkan di pusat pemindahan di Hulu Langat bagi memudahkan sebarang urusan dan tindakan dibuat segera.

“Setakat ini kita lihat air sudah memasuki dua kawasan berkenaan malah difahamkan dua pusat pemindahan sudah dibuka di Dengkil sebagai persediaan,” kata Hafisham Mohd Noor kepada SelangorKini malam ini.

Beliau berkata sepanjang kejadian banjir di Hulu Langat hari ini, seramai 37 anggota digerakkan seawal jam 4 pagi selain beberapa aset seperti van unit bantuan perkhidmatan kecemasan, bot alumanium dan lori.

Hujan lebat bermula jam 3 pagi itu menyebabkan rumah 60 keluarga ditenggelami air dan kini semua mereka ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Kampung terlibat ialah Kampung Batu 20 Sungai Lui, Kampung Batu 14, Kampung Batu 16, Kampung Kuala Perdik, Kampung Batu 18, Kampung Batu 17 dan Kampung Sungai Serai.

 


Pengarang :