Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika berkawal di kawasan Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi yang dipasang kawat duri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika tinjauan pada 12 November 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Penduduk padat, gerak komuniti faktor kes naik di Lembah Klang

PUTRAJAYA, 14 NOV: Jangkitan di tempat kerja, kepadatan dan pergerakan yang tinggi dalam komuniti, menyumbang kepada peningkatan 2.5 kali ganda kes baharu Covid-19 di Lembah Klang semalam berbanding kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata keadaan penularan masih terkawal dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar Lembah Klang sejak bulan lepas.

“Kalau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan seperti Mac lalu, ia akan menjejaskan ekonomi. Pelaksanaan PKPB ini dapat mengimbangi sektor ekonomi dan kesihatan setelah sektor sosial, sukan dan pendidikan dihadkan.

“Kepadatan penduduk di Lembah Klang dan pergerakan dari satu zon ke zon lain dalam negeri tersebut atau pergerakan merentas negeri, membimbangkan KKM,” katanya pada sidang media harian di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini semalam.

Susulan itu beliau menasihatkan penduduk di Lembah Klang agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang tempoh PKPB ketika ini bagi mengekang penularan dalam komuniti.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata peningkatan kes di Lembah Klang turut berpunca daripada jangkitan di tempat kerja dan mencadangkan kepada majikan supaya ujian saringan Covid-19 dijalankan secara berkala dan bukannya sekali sahaja.

Beliau menjelaskan walaupun pengimbas suhu badan disediakan di tempat kerja namun masih terdapat kes tidak bergejala dikesan.

-BERNAMA


Pengarang :