Penghuni dan pekerja di kawasan Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 12 Nov sehingga 25 November depan dilihat memberikan kerjasama yang baik kepada petugas-petugas kesihatan untuk menjalani saringan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBALNASIONAL

KKM, Gavi muktamad tarikh tandatangani Covax, jamin bekalan vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) dan ‘The Global Alliance for Vaccine and Immunisation’ (Gavi) sedang memuktamadkan tarikh bagi menandatangani perjanjian ‘Optional Purchase Arrangement’ bagi menyertai pelan peruntukan vaksin Covid-19 vaccine global access (Covax).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, Jemaah Menteri pada 14 Oktober lalu bersetuju supaya Malaysia menyertai fasiliti Covax, yang bakal memberi jaminan bekalan vaksin untuk 10 peratus populasi negara ini.

Menurutnya, Jemaah Menteri juga bersetuju agar KKM mewakili kerajaan bagi memuktamadkan perjanjian penyertaan Malaysia ke dalam Covax bersama pihak Gavi, dan Jabatan Peguam Negara turut ditugaskan untuk menyemak terma serta syarat perjanjian ditetapkan Gavi.

“Keputusan untuk Malaysia menyertai fasiliti ini akan melibatkan kos merangkumi bayaran pendahuluan dan ‘risk sharing guarantee’ berjumlah US$22,656,200.00 atau secara anggarannya RM94.08 juta,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PAKATAN-Bagan) yang ingin tahu sama ada Malaysia menyertai inisatif COVAX disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang membolehkan 20 peratus daripada penduduk sesebuah negara menerima dos vaksin Covid-19 dengan vaksin dihantar sebaik sahaja tersedia dan membantu membina semula ekonomi, serta kos penyertaannya.

Khairy berkata jaminan akses awal bekalan vaksin Covid-19 penting untuk melindungi rakyat daripada penularan wabak itu dan seterusnya membantu merancakkan ekonomi negara apabila vaksinasi dijadikan syarat untuk pergerakan dan perhubungan di peringkat global.

Penyertaan Malaysia fasiliti Covax merupakan pendekatan pelbagai hala yang bakal membuka ruang untuk negara mempelbagaikan pilihan, serta mengurangkan risiko daripada memberikan tumpuan kepada kaedah bilateral sahaja dalam pemerolehan vaksin Covid-19.

-BERNAMA


Pengarang :