Petugas kesihatan menanggalkan gelang kuarantin seorang individu yang selesai menjalani kuarantin wajib 14 hari dan bebas jangkitan Covid-19 ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan, Sabah pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM kesan lima lagi kluster baharu di empat negeri

SHAH ALAM, 5 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan lima lagi kluster baharu Covid-19 membabitkan Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kluster Sutera di Kota Kinabalu, Sabah merupakan kes indeks ke-35,499 dan 35,500 yang dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 2 November serta dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

“Seramai 32 individu disaring, 15 kes dikesan positif, enam negatif dan 11 lagi masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata Kluster Ria-30 di Tuaran, Sabah pula dikenal pasti positif hasil saringan komuniti sejak 2 November dan kesemua kes dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Intan di Sepanggar.

Menurutnya sejumlah 254 individu disaring, 11 kes dikesan positif dengan dua kes baharu, 121 individu negatif dan selebihnya menunggu keputusan.

Sementara itu, Kluster Tamar di Petaling, Selangor merupakan kes indeks ke-32,410 yang dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 1 November.

Katanya, saringan kontak rapat mengesan sembilan lagi kes positif dan kesemua mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

“Sejumlah 137 individu disaring, 10 kes dikesan positif dengan satu kes baharu, 57 individu negatif dan 70 lagi masih menunggu keputusan,” katanya.

Beliau menjelaskan kluster Danau di Titiwangsa, Kuala Lumpur adalah kes indeks ke-29,286 yang dikenal pasti positif wabak hasil saringan individu bergejala pada 27 Oktober lalu.

“Seramai 82 individu disaring, lapan kes dikesan positif dengan empat kes baharu, 40 individu negatif dan 34 orang masih menunggu keputusan,” katanya.

Bagi Kluster Intan di Timur Laut Pulau Pinang, Noor Hisham berkata kes indeks ke-30,788 merupakan seorang warga asing yang dikesan positif Covid-19 hasil saringan sebelum pulang ke negara asal pada 29 Oktober.

Katanya saringan kontak rapat mengesan lapan lagi kes positif dan kesemua kes dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.


Pengarang :