EXCO Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Tao (LIMAS) Hee Loy Sian bergambar bersama wakil persatuan gereja pada Majlis Penyerahan Peruntukan Kepada Badan Agama Kristian di Bangunan SUK, Seksyen 6, Shah Alam pada 29 Disember 2020. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

51 gereja terima bantuan Kerajaan Negeri, peruntukan lebih RM800,000

SHAH ALAM, 29 DIS: Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM805,200 kepada 51 gereja bagi melaksanakan proses naik taraf dan aktiviti persatuan sepanjang tahun ini, kata EXCO Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Tao (LIMAS).

Hee Loy Sian berkata bantuan secara berfasa termasuk agihan bakul makanan bagi meringankan beban penganut Kristian berpendapatan rendah (B40) yang terkesan susulan pandemik Covid-19.

“Walaupun peruntukan tidak banyak namun Selangor menjadi satu-satunya negeri yang memberi sumbangan tetap kepada rumah ibadat selain Islam.

“Ini bukti komitmen terhadap rumah ibadat supaya mereka boleh mengadakan pelbagai aktiviti, menambah peralatan di rumah ibadat atau mengubah suai bangunan,” katanya selepas majlis penyerahan peruntukan kepada badan agama Kristian di Bangunan SUK di sini hari ini.

Sebanyak 23 persatuan gereja dari seluruh Selangor menerima sumbangan fasa kedua membabitkan dana berjumlah RM237,200.

Loy Sian menambah kelulusan diberikan selepas meneliti faktor keperluan dan bilangan penganut dalam sesebuah gereja berikutan sambutan terhadap bantuan itu amat menggalakkan.

“Saya berharap persatuan gereja boleh memohon melalui laman sesawang dan mendapatkan sokongan daripada ahli dewan negeri kawasan masing-masing sebelum dihantar kepada pejabat saya untuk diproses,” katanya.


Pengarang :