Pekerja premis yang menjual daging import Siti Aishah Hamid kelihatan menyusun daging ketika tinjauan di Premis D Selection, Ipoh pada 28 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar: Kartel daging tindakan paling hina, tidak boleh dimaafkan

SHAH ALAM, 29 DIS: Isu kartel penyeludupan dan pengedaran daging import haram yang berlaku di negara ini disifatkan tindakan paling hina dan keji.

Presiden Parti Keadilan Rakyat menegaskan dalang di sebalik kes tersebut tidak wajar dimaafkan kerana melibatkan soal halal dan menceroboh darah daging umat Islam.

“Ini bukan hanya tanggungjawab Kementerian Pertanian malah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia juga perlu bertanggungjawab kerana mereka keluarkan cop halal,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui di sini.

“Saya rasa tidak wajar umat Islam maafkan perkara ini. Harus ada tekad politik untuk segera memberi jawapan dan hukum pihak yang memperalatkan agama di samping meracuni rakyat.”

Pada 21 Disember, media melaporkan kegiatan kartel menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina, sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

Kartel tersebut dikatakan bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi kerajaan untuk membawa masuk antaranya daging kangaru dan kuda.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu dipercayai berlarutan lebih 40 tahun lalu.


Pengarang :