Papan tanda peringatan untuk mengekang penularan Covid-19 diletakkan di sebuah pusat membeli-belah sebagai langkah pencegahan ketika tinjauan pada 29 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Lima lagi kluster baharu dikesan di KL, Selangor, Johor

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan lima lagi kluster baharu Covid-19 yang melibatkan kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster pertama iaitu Kluster Desa Pinang yang melibatkan daerah Kepong, Lembah Pantai, Titiwangsa dan Cheras di Kuala Lumpur, selain Gombak di Selangor.

Kes indeks kluster itu iaitu kes ke-62,596 dilaporkan positif Covid-19 pada 28 November lalu hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga hari ini, seramai 120 individu disaring, di mana 25 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Covid-19, di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kluster kedua iaitu Kluster Impian pula telah dikesan di Gombak, dengn kes indeks (kes ke-63,700) dilaporkan positif Covid-19 pada 29 Nov lepas hasil saringan individu bergejala.

Beliau berkata sehingga hari ini, 220 individu disaring, dengan sembilan kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster berkenaan.

Katanya kluster ketiga iaitu Kluster Baloi pula dikesan di Johor Bahru dan juga Pontian, Johor, dengan kes indeks (kes ke-63,152) dilaporkan positif Covid-19 pada 28 November hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga hari ini, seramai 166 individu disaring, dengan 30 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kluster keempat ialah Kluster Jernai yang melibatkan daerah Titiwangsa di Kuala Lumpur, dengan kes indeks (kes ke-64,196) dilaporkan positif Covid-19 pada 29 November hasil saringan sebelum ke luar negara.

Beliau berkata sehingga semalam, 45 individu disaring dan 13 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster berkenaan.

Beliau berkata kluster kelima pula adalah Kluster Seri Wangsa yang juga melibatkan Titiwangsa, Kuala Lumpur, dengan kes indeks (kes ke-64,193) dilaporkan positif Covid-19 pada 29 Nov hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga 2 Dis, seramai 154 individu telah disaring, dengan lapan kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata penambahan lima kluster baharu itu menjadikan sehingga kini 369 kluster telah dilaporkan.

Beliau berkata jumlah kluster yang tamat pula adalah 186 kluster termasuk dua yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Cahaya dan Kluster Alma.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 183 kluster dan daripada jumlah itu, sebanyak 44 kluster melaporkan pertambahan kes.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Batu Tujuh iaitu 51 kes, Kluster Beringin (36 kes), dan Kluster Kaya (33 kes),” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :