Selangorkini
KWSP pada 2 Disember 2020 memperincikan skim i-Sinar bagi pengeluaran Akaun 1 kepada semua ahli yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19. Foto: BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KWSP perinci syarat keluar Akaun 1 i-Sinar

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan bahawa pencarum yang layak membuat permohonan kemudahan i-Sinar terbahagi kepada dua kategori.

Menurut KWSP dalam kenyataan hari ini, kategori 1 adalah pencarum yang bekerja dalam sektor formal, bekerja sendiri, bekerja dalam sektor ekonomi gig, ahli yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau ahli yang diberi notis cuti tanpa gaji.

“Kriteria bagi kategori 1 adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan; atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.

“Bagi kategori ini, tiada dokumen sokongan diperlukan; kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP dan ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 21 Disember 2020,” katanya.

Katanya pembayaran untuk ahli yang layak akan bermula pada pertengahan Januari 2021.

Bagi kategori 2, KWSP berkata ia untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas Mac 2020, dan pengurangan tersebut hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan.

“Bagi melancarkan proses pengesahan, KWSP memerlukan dokumen sokongan daripada ahli iaitu slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan; dan notis pemberhentian atau pemotongan elaun dan/atau tuntutan kerja lebih masa,” katanya.

Menurut KWSP, jika dokumen di atas tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan.

“Bagi kategori ini, ahli boleh memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 11 Januari 2021,” katanya.

KWSP berkata untuk memastikan permohonan dipertimbangkan dengan terperinci, status permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa dua hingga tiga minggu selepas permohonan dibuat.

Pembayaran pula akan dilaksanakan sebelum akhir bulan berikutnya, selepas diberi kelulusan.

Bagi jumlah kelayakan i-Sinar pula, KWSP menjelaskan ia tertakluk kepada baki simpanan Akaun 1 ahli berdasarkan butiran terkini.

“Ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

“Ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM100,000 dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran maksimum 10 peratus atau RM60,000 (yang mana lebih rendah) daripada Akaun 1.

“Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000,” katanya.

KWSP turut menggalakkan ahli mendaftar i-Akaun bagi memastikan kelancaran proses permohonan dan mengemaskini nombor telefon bimbit mereka untuk menerima Kod Pengesahan Transaksi (TAC) di kiosk atau kaunter KWSP serta memastikan akaun bank mereka aktif.

-BERNAMA

 


Pengarang :