Petugas kesihatan meletakkan sampel saringan Covid-19 ke panel khas ‘buffer tube’ untuk mengesan jangkitan virus dengan pantas menggunakan mesin analisa Standard F200 SD Biosensor ketika program Saringan Komuniti di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDAPENDAPATRENCANA

Covid-19: Saringan tempat kerja lonjak kes harian, jumlah keseluruhan hampir 90,000

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah rangkuman mingguan mengenai Covid-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 12 Disember hingga pukul 12:30 tengah hari 18 Disember.

Jumlah kes Covid-19 di Malaysia melepasi angka 89,000. Di peringkat global, lebih 75 juta kes dilaporkan dengan lebih 1.66 juta kematian. Lebih 52 juta pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh. Pandemik Covid-19 sudah merebak ke lebih 200 buah negara dan wilayah.

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Kemunculan berterusan kluster tempat kerja termasuk tapak binaan di samping kluster aktif sedia ada, melonjakkan kes harian baharu serta jumlah keseluruhan kes di negara ini yang kini menghampiri 90 ribu kes.

Pada Khamis 17 Disember, kes harian baharu kekal empat angka iaitu 1,220, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 89,133 kes.

Malaysia kini mempunyai sebanyak 14,671 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19.

Dalam senarai global negara yang dilanda pandemik Covid-19, Malaysia kini berada di tangga ke-79, sementara China yang melaporkan kes awal koronavirus maut ini pada penghujung tahun 2019, di tangga ke-80 dengan 86,789 kes. Negara jiran Singapura di tangga ke-86 dengan 58,377 kes.

Untuk rekod, kes baharu harian empat angka dicatat sepanjang rangkuman mingguan (12-17 Dis) iaitu 1,937 (12 Dis), 1,229 kes ( 13 Dis), 1,371 kes ( 14 Dis), 1,772 kes ( 15 Dis), 1,295 kes ( 16 Dis) dan 1,220 kes (17 Dis).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengaitkan peningkatan kes yang mendadak di beberapa negeri kebelakangan ini, hasil saringan bersasar yang dijalankan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta majikan di lokaliti zon merah bermula 1 Disember lepas.

Enam buah negeri terlibat dalam pelaksanaan saringan ini iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sabah serta dua wilayah persekutuan iaitu Kuala Lumpur (WPKL) dan Labuan.

Ujian saringan ini dilakukan secara berkala di daerah yang dikenal pasti seperti Klang dan Seremban bermula 1 Disember 2020 serta lain-lain daerah zon merah di Selangor, WP Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 9 Disember 2020. Bermula 16 Disember 2020 pula, ujian saringan ini ijalankan ke seluruh negeri Sabah, WP Labuan dan lain-lain daerah di Selangor, P.Pinang dan Negeri Sembilan.

Menurut KKM, beberapa kluster baharu dikesan yang melibatkan pekerja asing seperti Kluster Tapak Bina Rimbun (Negeri Sembilan), Kluster Tapak Bina Cendana, Tapak Bina Condong, Kluster Tapak Bina Jalan Stadium, Kluster Tapak Bina Laut, Kluster Tapak Bina Matahari dan Kluster Tapak Bina Permai (KL) serta Kluster Tapak Bina Jalan Bukit (Selangor).

Mereka yang dikesan positif ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) termasuk PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan di PKRC Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan.

KKM menjangkakan kes dan kluster baharu akan terus meningkat dalam waktu terdekat dan ini boleh dilihat daripada lonjakan kes positif Covid-19 di Malaysia yang kekal empat angka sepanjang tempoh rangkuman mingguan ini.

Kluster Tempat Kerja

Sepanjang rangkuman mingguan (12 Dis-17 Dis ), jumlah kluster baharu yang dilaporkan oleh KKM adalah seperti berikut iaitu 12 Disember – tiga kluster tempat kerja, masing-masing satu di Tawau (Sabah), Lembah Pantai, Titiwangsa dan Cheras (WPKL) dan Gombak (Selangor).

Pada 13 Disember – empat daripada enam 6 kluster – satu kluster tempat kerja di Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan; satu kluster tapak binaan di Seremban, Negeri Sembilan; 1 kluster tempat kerja di daerah Sepang, Gombak, Kuala Selangor dan Hulu Selangor dan satu kluster tempat kerja di Kuantan, Pahang.

Dua kluster dilaporkan pada 14 Disember dan kedua-duanya melibatkan tempat kerja, iaitu satu di daerah Sepang, Kuala Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat dan satu kluster lagi di daerah Kepong, WPKL.

Tiada kluster baharu dilaporkan pada 15 Disember tetapi kluster aktif menambah kes baharu tertinggi iaitu Kluster Tapak Bina Damanlela (568 kes), Kluster Tembok (99 kes) dan Kluster Tapak Bina Rimbun (27 kes).

Kluster Tapak Bina Damanlela diiumumkan oleh KKM pada 7 November lepas, melibatkan daerah Lembah Pantai, Kepong dan Titiwangsa, WPKL dan setakat17 Disember merekod sebanyak 2,552 kes.

Sebanyak lapan kluster diumumkan pada 16 Disember di mana empat melibatkan kluster tempat kerja iaitu Kluster Puncak Galaksi, di daerah Kuala Selangor, Klang, Selangor (56 kes positif), tiga tapak binaan – Kluster Tapak Bina Permai (positif 48) – daerah Lembah Pantai, WPKL, Kluster Tapak Bina Matahari (positif 15) – daerah Titiwangsa, WPKL; Kluster Tapak Bina Laut (8 positif) – daerah Lembah Pantai, Cheras dan Kepong (WPKL).

Pada 17 Disember, tiga kluster dilaporkan dan satu daripadanya melibatkan tapak binaan iaitu Kluster Tapak Bina Pasifik melibatkan daerah Lembah Pantai di WPKL. Sebanyak 17 kes dikesan positif sehingga 17 Disember.

Sehingga 17 Disember 2020, Malaysia merekod 429 kluster termasuk tiga (3) kluster baharu semalam. Sebanyak 236 kluster termasuk enam (6) kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Benteng PK, Kluster Kapas BJ, Kluster Garden, Kluster Bah Tropicana, Kluster Bah Bercham dan Kluster Mentari.

Jumlah kluster aktif yang dipantau setakat ini sebanyak 193 kluster dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 41 kluster melaporkan pertambahan kes tertinggi iaitu Kluster Penjara Jalan Harapan (98 kes), Kluster Jalan Rusa (57 kes), dan Kluster Bintang (50 kes).

Kes Pulih Dan Kematian

Kes pulih harian terus mencatat jumlah yang tinggi dan pada Khamis 17 Disember, sebanyak 1,297 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sebanyak 74,030 kes (83.1 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes.

Untuk rekod, kes pulih untuk sepanjang rangkuman mingguan – 911 kes (12 Dis), 1,309 kes (13 Dis), 1,204 kes (14 Dis), 1,084 kes (15 Dis), 1,052 kes (16 Dis) dan 1,297 kes (17 Dis).

Sebanyak tiga kes kematian dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 432 kes ( 0.48 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Mengikut pecahan hari, kematian yang dilaporkan sepanjang tempoh ini, 12 Dis – 9 kes ( 4 Sabah, 3 Johor, 1 Pulau Pinang dan 1 Selangor ), 13 Dis – 4 kes ( 2 Selangor, 1 Kelantan dan 1 Negeri Sembilan), 14 Dis – 4 kes (2 Sabah, 1 WP Labuan dan 1 Perak), 15 Dis – 3 kes (3 Sabah), 16 Dis – 7 kes ( 5 Sabah, 1 Selangor, 1 Kelantan ) dan 17 Dis – 3 kes (2 di Sabah dan 1 di Johor ).

Sementara itu, sehingga Khamis 17 Disember, seramai 106 orang pesakit Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, dan 53 orang daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di Malaysia pada Rabu 16 Disember menyebut kadar kebolehjangkitan (R-Naught/Rt) negara berada antara 0.9 dan 1.1.

Beliau menekankan, kadar tersebut perlu diturunkan kepada 0.5 atau 03 untuk melandaikan lengkungan pandemik Covid-19.

Nilai Ro adalah kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat. Menurunkan nilai Ro kepada kurang daripada nilai 1 secara berterusan akan membantu memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Perincian Terkini Kes Covid-19 di Malaysia

Menurut perincian kes positif Covid-19 yang dilaporkan oleh KKM pada 17 Disember, Selangor mencatat jumlah kes terbanyak iaitu 368 kes dan 94 kes adalah daripada kluster sedia ada; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekod 297 kes dan 235 kes daripada kluster sedia ada dan 62 daripada kluster baharu, Kluster Jalan Rusa dan Kluster Tapak Bina Pasifik.

Sabah mencatat 184 kes termasuk satu kes daripada kluster baharu, Kluster Maringkan; Melaka melaporkan 98 kes daripada kluster sedia ada, sementara Pulau Pinang mencatat 80 kes dan 53 kes daripada kluster sedia ada.

Johor merekod 67 kes di mana 21 kes daripada kluster sedia ada; Perak melaporkan 41 kes dan 37 kes daripada kluster sedia ada; Negeri Sembilan mencatat 33 kes dan 17 kes daripada kluster sedia ada; Wilayah Persekutuan Labuan 16 kes di mana lima kes daripada kluster sedia ada.

Kelantan 10 kes; Kedah sembilan (9) kes; Sarawak sembilan (9) kes, Pahang empat (4) kes; Terengganu dua (2) kes dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dua (2) kes.

Statistik Global Covid-19

Setakat rangkuman mingguan ini, kes Covid-19 global sebanyak 75,273,822 (rangkuman minggu lalu 70,835,550) dengan 1,668,166 kematian (minggu lalu 1,591,036 kematian). Jumlah pesakit sembuh, 52,846,886 berbanding minggu lalu 49,260,896 orang).

Amerika Syarikat kekal di tangga pertama dengan 17,626,770 (minggu lalu 16,039,393). Angka kematian pula mencecah 317,928 (minggu lalu 299,692). Kes positif Covid-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan 2020.

India, di tempat kedua dengan 9,977,834 kes (minggu lalu 9,796,992 kes) dengan 144,829 kematian (minggu lalu 142,222 kes kematian). Brazil merekodkan 7,111,527 kes (minggu lalu 6,783,543 kes) dengan 184,876 kematian.

Rusia mencatat 2,762,668 kes (minggu lalu 2,597,711 kes) dengan 49,151 kematian (minggu lalu 45,893 kematian).

Perancis melaporkan 2,427,316 kes (minggu lalu 2,337,966 kes) dan 59,619 kematian (minggu lalu 56,940 kematian).

Di samping lima negara di atas, terdapat 68 buah lagi negara mencatat lebih 100,000 kes Covid-19.

Sementara China, di mana bermulanya wabak Covid-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-80 dengan 86,789 kes (minggu lalu 86,688 kes). Angka kematian kekal 4,634 (tidak berubah daripada minggu-minggu sebelumnya).

Dalam kalangan negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina menyertai senarai 72 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes Covid-19.

Indonesia merekod 643,508 kes (minggu lalu 598,933 kes) dengan 19,390 kematian (minggu lalu 18,336 kematian). Filipina mencatat 454,447 kes (minggu lalu 447,039 kes) dengan 8,850 kematian (minggu lalu 8,709 kematian).

Myanmar minggu ini melaporkan 113,082 kes (minggu lalu 104,487 kes) dengan 2,377 kematian (minggu lalu 2,201 kematian). Singapura melaporkan 58,377 kes (minggu lalu 58,305 kes) dan kes kematian kekal 29.

Jumlah kes positif Covid-19 di Thailand pula sebanyak 4,281 kes berbanding minggu lalu 4,180 kes) dengan angka kematian kekal 60. Vietnam mencatat 1,407 kes (minggu lalu 1,385 kes) dan angka kematian kekal 35.

Kes Covid-19 di Kampuchea minggu ini sebanyak 362 kes (minggu lalu 357 kes) dan masih sifar kematian.

Tiada perubahan kes Covid-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) sementara kes Covid-19 di Laos sebanyak 41 kes dan sifar kematian.

-BERNAMA


Pengarang :