Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 2 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Dua kluster baharu Covid-19 di Selangor, babit daerah Gombak

SHAH ALAM, 2 DIS: Dua kluster baharu Covid-19 direkodkan di Selangor dengan kedua-duanya membabitkan daerah Gombak, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kluster Desa Pinang yang turut melibatkan Kepong, Lembah Pantai, Titiwangsa dan Cheras di Kuala Lumpur itu dikesan dari individu dilapor positif wabak itu pada 28 November lalu.

“Sehingga hari ini, seramai 120 individu disaring, di mana 25 kes dikesan positif dalam kluster ini.

“Sementara bagi kluster kedua iaitu Kluster Impian, kes positif dikesan pada 29 November lalu hasil saringan individu bergejala. Sehingga kini, sejumlah 220 individu disaring dan sembilan kes didapati positif,” kata ketua pengarah kesihatan dalam sidang media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata bagaimanapun Kluster Cahaya yang dikesan pada 21 Oktober lalu di daerah Petaling dan Tampin, Negeri Sembilan ditamatkan hari ini.

“Pada masa sama, sebanyak 44 kluster melaporkan pertambahan kes. Ia termasuk Kluster Batu Tujuh yang melibatkan Batu Pahat dan Johor Bahru di Johor dengan 51 kes.

“Kluster Beringin di Pulau Pinang dengan 36 kes dan Kluster Kaya di Seremban, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan 33 kes,” katanya lagi.


Pengarang :