EXCO Kerajaan Negeri Rodziah Ismail (dua, kiri) menerima memorandum dari wakil penduduk selepas sesi dialog permasalahan skim perumahan berpagar dan berpengawal di Bandar Botanic Club House, Klang pada 18 Disember 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Selangor kaji semula skim komuniti berpagar, berpengawal

KLANG, 18 DIS: Kerajaan Negeri akan mengkaji semula garis panduan pelaksanaan skim komuniti berpagar dan berpengawal susulan pembangunan pesat di Selangor.

EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata perkara itu termasuk menyelaraskan kadar peratusan persetujuan penduduk untuk pelaksanaan skim tersebut di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Untuk jangka masa panjang dasar skim perlu dikaji semula memandangkan di Selangor hampir 90 peratus kawasannya adalah bandar. Keputusannya akan diumumkan dalam tempoh dua tahun lagi,” kata Rodziah Ismail.

Beliau berkata demikian selepas sesi Dialog Perbincangan Permasalahan Skim Perumahan Berpagar dan Berpengawal di Bandar Botanic Club House di sini hari ini.

Menurutnya, elemen keselamatan di sesebuah perumahan bukan hanya perlukan kemudahan itu sebaliknya hubungan kejiranan juga penting bagi mewujudkan rasa selamat serta harmoni.

“Kita hormat keputusan majoriti penduduk yang mahu kediaman mereka ada pengawal dan pagar tetapi suara minoriti juga perlu diambil kira, jangan pula bila ada semua itu keharmonian dalam sesebuah kejiranan pula tiada,” katanya.


Pengarang :