Dato’ Seri Amirudin Shari semasa pelancaran program 16 Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berdasarkan Gender di Foyer SUK, Shah Alam pada 25 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan Negeri rangka empat langkah jangka pendek atasi air tercemar

SHAH ALAM, 2 DIS: Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) sebagai langkah jangka pendek bagi mengatasi pencemaran sumber air.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insiatif tersebut dirangka untuk memastikan rakyat Selangor dapat menikmati bekalan air secara berterusan.

“SJAM menggariskan empat langkah iaitu rawatan awal di kolam rawatan, pemantauan dan pengawasan, pembinaan infrastruktur pengepaman terus dari kolam takungan Sungai Selangor serta penguatkuasaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Pindaan 2020,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Pada 26 November, EXCO infrastruktur berkata Sungai Gong dijadikan projek rintis penggunaan teknologi nano yang bertindak merawat sungai tercemar.

Ir Izham Hashim berkata projek melalui skim itu bakal diluaskan ke Sungai Sembah dan Sungai Semenyih dalam usaha mengekang pencemaran sumber air.

Menurutnya, sistem hasil gabungan teknologi dari Amerika Syarikat dengan tempatan itu akan menghapuskan bau, minyak, gris, logam berat, pepejal terampai dan terlarut dalam pencemaran selain memastikan kelangsungan hidupan akuatik.

Kerajaan Selangor memperuntukkan RM200 juta bagi membendung masalah pencemaran air menerusi empat projek dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.


Pengarang :