Program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar diadakan di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Klang kembali catat kes Covid-19 tertinggi di Selangor

SHAH ALAM, 16 DIS: Klang menyumbang kes Covid-19 tertinggi sebanyak 301 jangkitan daripada 503 kes yang dilaporkan Selangor semalam.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKNS) memaklumkan sebanyak 274 kes dikesan di mukim Klang, manakala 27 lagi di mukim Kapar dengan 204 daripadanya melalui saringan pekerja.

Hulu Langat pada kedudukan kedua merekodkan 52 kes iaitu mukim Kajang (29), Cheras (10), Ampang (enam), Beranang (empat) dan Semenyih (tiga).

“Petaling mencatatkan 44 kes dengan 33 daripadanya di mukim Damansara, Petaling (enam) dan Sungai Buloh (lima) manakala 41 kes di Sepang dilaporkan di mukim Dengkil,” menurut agensi itu di Facebook.

Jabatan itu melaporkan sebanyak 25 kes di Kuala Langat, Gombak (19), Kuala Selangor (13), Hulu Selangor (tujuh) dan Sabak Bernam (satu).

Sehingga 12 tengah hari semalam, seramai 283 pesakit negeri ini pulih menjadikan jumlah sembuh sebanyak 14,830 kes, manakala angka kematian kekal 34 orang.

Semalam, sebanyak 1,772 kes Covid-19 dilaporkan di seluruh negara.


Pengarang :