5 – Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor bercakap kepada media selepas operasi merobohkan premis yang didirikan tanpa kebenaran atas rizab lembangan Sungai di Rawang pada 8 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Premis ceroboh tanah kerajaan diroboh, elak cemar air – MPS

RAWANG, 8 DIS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengenal pasti beberapa lagi premis yang dibina atas rizab tanah kerajaan tanpa kelulusan untuk dirobohkan dalam masa terdekat.

Yang Dipertuanya Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata tindakan perobohan memfokuskan kilang yang gagal mengosongkan premis selepas notis dikeluarkan.

“Buat masa ini, MPS bersama Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak sedang membuat bancian semula untuk kilang, bengkel atau bangunan dibangunkan atas tanah kerajaan.

“Keutamaan diberikan kepada tanah kerajaan kerana apa-apa sahaja premis tidak dibenarkan beroperasi (atas tanah kerajaan). Jadi, ada lagi (premis) akan dikeluarkan notis dan operasi penguatkuasaan,” katanya.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merobohkan premis yang didirikan tanpa kebenaran atas rizab lembangan Sungai Selangor di Rawang pada 8 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau operasi perobohan bengkel jentera berat, kilang kitar semula dan kandang ternakan lembu di Kuala Garing di sini hari ini.

Operasi bermula kira-kira jam 10 pagi diketuai PTD Gombak dan dibantu pihak berkuasa tempatan itu termasuk polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Shamsul Shahril memaklumkan enam daripada lapan premis dibina tanpa kebenaran di tebing Sungai Rawang berjaya dirobohkan menerusi operasi bersepadu dijalankan sejak 24 November lalu.

Menurutnya, tiada insiden pencemaran sungai dikesan selepas tindakan itu dibuat ke atas semua premis terbabit namun pemantauan dilakukan secara kerap bagi mengelak pencerobohan.

“MPS, PTD Gombak serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan sentiasa membuat rondaan bagi memastikan tiada pencerobohan berlaku di kawasan berkaitan selain mengenakan tindakan sewajarnya terhadap premis yang melanggar peraturan,” katanya.


Pengarang :