Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mendengar penerangan disampai Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad semasa lawatan baginda ke Pustaka Raja Tun Uda pada 28 Disember 2020. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sumbang lebih 2,000 buku, Sultan prihatin perkembangan Pustaka Raja Tun Uda

SHAH ALAM, 29 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyumbang 2,080 nashkah buku kepada Pustaka Raja Tun Uda setakat ini.

Selangor Royal Office dalam kenyataan memaklumkan perpustakaan di Seksyen 13 di sini sangat dekat di hati baginda sejak ia dibuka kepada rakyat pada 2011.

“Baginda sentiasa mengikuti perkembangan perpustakaan ini dan sering menyumbang pelbagai idea bagi menjadikannya sebagai lokasi pilihan rakyat untuk menimba ilmu,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, Sultan Sharafuddin diiringi Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, berkenan berangkat mengadakan lawatan tidak rasmi ke Pustaka Raja Tun Muda termasuk ke tingkat empat bangunan yang menghimpunkan koleksi buku sumbangan baginda.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sentiasa mengikuti perkembangan dan menyumbang pelbagai idea termasuk buku untuk kemajuan Pustaka Raja Tun Uda. Foto Facebook Selangor Royal Office

Sepanjang lawatan, taklimat disampaikan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad berhubung perkembangan terkini pustaka berkenaan.

Selain Sultan Sharafuddin, kerabat Diraja Selangor turut menyumbang buku dan bahan ilmiah untuk manfaat pengunjung Pustaka Raja Tun Uda.

Sehingga November lalu, pustaka terbabit merekodkan 7.34 juta pengunjung dengan jumlah keahlian hampir 135,000 dan 1.28 juta nashkah pinjaman buku.


Pengarang :