Pegawai LUAS melakukan persampelan bau di aliran air yang keluar dari kolam ternakan ikan keli Sungai Tinggi, Hulu Selangor pada pada 8 Disember 2020. Foto Facebook LUAS
AGENDANASIONAL

Sungai tercemar: LUAS buat persampelan bau di tiga lokasi

SHAH ALAM, 8 DIS: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melakukan persampelan bau di tiga lokasi susulan henti tugas empat loji rawatan air (LRA) tengah malam tadi.

Menurut agensi, lokasi tersebut melibatkan kawasan pam Sungai Selangor, kolam takungan hiliran (ORS) Bestari Jaya dan LRA Rantau Panjang.

“Selain itu pegawai LUAS juga sedang mengambil sampel air di aliran yang keluar dari kolam ikan keli menuju ke Sungai Selangor,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Sebelum ini, EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata kolam ternakan ikan keli di Sungai Tinggi, Hulu Selangor dipercayai menjadi punca empat LRA dihenti tugas.

Katanya, berdasarkan siasatan premis terbabit membuat pelepasan besar air dari satu kolam menyebabkan air mengalir ke Sungai Selangor malah ia beroperasi tanpa lesen.

LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas kira-kira empat jam akibat pencemaran air Sungai Selangor tengah malam tadi.

Pengguna di tujuh wilayah di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat mula menerima air secara berperingkat mulai jam 3 petang tadi.


Pengarang :