Kerajaan memberi komitmen akan menangani isu pengimportan daging yang diragui secepat mungkin, termasuk menimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasatnya. Foto hasil tinjauan sekitar Kuala Lumpur pada 29 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Suruhanjaya diraja langkah terbaik siasat isu kartel daging

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal adalah langkah terbaik bagi menyiasat isu tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan hari ini berkata usaha dan hasrat yang murni ini telah dipersetujui dengan pihak terlibat dan dilihat penting demi kemaslahatan umat Islam di Malaysia.

Terdahulu di Dewan Negara hari ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid mengumumkan kerajaan bersetuju dan menyokong penuh cadangan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal.

Jelas Rosol, kerajaan memandang serius isu kartel daging haram yang menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Dalam pada itu, Zulkifli turut menyambut baik hasrat KPDNHEP untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundangan dan Penguatkuasaan Halal bagi menyelaraskan tindakan dan isu berkaitan halal, yang akan turut dianggotai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Zulkifli berkata beliau dan Jakim mengambil prihatin dan meletakkan kecaknaan yang penuh terhadap isu pemalsuan logo halal dalam kes kartel daging haram baru-baru ini termasuk mengadakan beberapa lawatan ke syarikat pemain industri yang terlibat dalam pengimportan dan penyembelihan daging.

“Usaha ini dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti pensijilan halal produk-produk daging yang dihasilkan di dalam negara adalah di tahap yang terbaik.

“Bagi produk daging import, Jakim akan terus menggiatkan usaha dan penambahbaikan bagi memastikan Badan Pensijilan Halal Luar negara mematuhi semua standard yang telah ditetapkan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :