ADN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah bersama penerima sumbangan pek makanan asas di Pangsapuri Seri Aman pada 1 Januari 2021. Foto Facebook Ean
ADNSELANGOR

300 keluarga tiga pangsapuri di Seri Kembangan terima bantuan makanan

SHAH ALAM, 3 JAN: Seramai 300 isi rumah memerlukan dari tiga kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan menerima bantuan pek makanan asas.

Ahli dewan negerinya berkata sumbangan dianggar bernilai RM40 setiap satu diagihkan kepada golongan sasar di Pangsapuri Seri Aman, Pangsapuri Seksyen 5 Bukit Serdang dan Pangsapuri Bayu Bukit Serdang.

“Sebanyak RM12,000 dibelanjakan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk agihan ini bagi meringankan beban keluarga berpendapatan rendah (B40), ibu tunggal, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

“Semua penerima berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana mengambil berat kesukaran dihadapi mereka ketika ini disebabkan pandemik Covid-19,” kata Ean Yong Hian Wah ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata jumlah tersebut menjadikan lebih 2,000 penerima mendapat manfaat menerusi program agihan bekalan keperluan makanan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Sementara itu, Ean memaklumkan seramai 200 pelajar sekolah rendah turut mendapat bantuan keperluan persekolahan tahun ini.

“Sumbangan ‘Back To School’ diedarkan dua bulan lalu dengan menyasarkan pelajar yang benar-benar susah. Kita juga sedia membantu pelajar yang berdepan masalah kewangan untuk mendapat bantuan sama,” katanya.


Pengarang :