Selangorkini
Dua buah lori dan rumah di Kampung Sepakat Baru hampir tenggelami air akibat banjir yang melanda ketika tinjauan di kampung tersebut pada 2 Jan 2021. Foto: BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Tiga stesen rekod sungai paras bahaya di Johor

JOHOR BAHRU, 3 JAN: Tiga stesen yang merekodkan data aras sungai di negeri ini mencatatkan tiga sungai berada pada aras bahaya yang boleh menyebabkan banjir setakat 1 petang ini, manakala enam lagi merekodkan aras waspada.

“Tiga stesen tersebut ialah Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat yang merekodkan paras air 6.69 meter melebihi paras bahaya enam meter; Sungai Johor, Rantau Panjang di Kota Tinggi mencatatkan aras air 10.44 meter (m) melebihi 9.80m (paras bahaya) dan Sungai Skudai di Kampung Laut, Johor Bahru mencatatkan paras 7.03m berbanding paras bahaya tiga meter,” menurut data tersebut.

Sementara itu, stesen Sungai Muar di Sungai Senduk (Tangkak); Sungai Bekok di Yong Peng (Batu Pahat); Sungai Senggarang di Senggarang (Batu Pahat), Sungai Johor (Kota Tinggi); Sungai Skudai, Kampung Separa (Johor Bahru) dan Sedili Kechil (Kota Tinggi), berada di paras waspada.

Menurut data jabatan Pengairan dan Saliran di laman web publicinfobanjir.water.gov.my, aras bahaya bermaksud aras air sungai mula melimpah dan boleh menyebabkan banjir, dan perpindahan perlu dilaksanakan jika perlu, manakala aras waspada bermaksud aras air sungai mula meningkat dari aras normal.

Sementara itu, Kota Tinggi menerima hujan lebat tertinggi semalam dengan 13 stesen di Kota Tinggi menerima hujan sangat lebat antara 138 milimiter (mm) sehingga 274mm, diikuti 10 stesen di Johor Bahru yang turut merekodkan hujan sangat lebat antara 124mm dan 214mm.

“Stesen Bukit Pelali, Kota Tinggi merekodkan penerimaan hujan tertinggi iaitu 326mm; diikuti Sungai Kahang, Kampung Contoh di Kluang merekodkan 290mm; dan Stesen Ulu Sebol, Kota Tinggi sebanyak 274mm,” menurut data terbabit.

Bagi tempoh tengah malam tadi sehingga 1 petang tadi, empat stesen di Mersing iaitu stesen Pengkalan Batu, Stor JPS, Empangan Labong dan Jemari merekodkan penerimaan hujan antara 100mm hingga 192mm.

Setakat 12 tengah hari tadi, banjir di Johor merekodkan jumlah mangsa seramai 6,248 mangsa daripada 1,628 keluarga berbanding 5,818 mangsa daripada 1,540 keluarga yang direkodkan pagi tadi melibatkan tujuh daerah.

– BERNAMA

 


Pengarang :