e-Sukan antara bidang yang digemari masa kini kerana berpotensi melahirkan bakat baharu dan menjana pendapatan. Foto ARKIB SELANGORKINI
PENDAPATRENCANA

e-Sukan jadi pilihan ramai

Kemeriahan kegiatan sukan di negara ini seakan-akan lenyap berikutan pelbagai kejohanan terpaksa dibatal akibat wabak Covid-19. Tiada lagi suasana gamat dan sorak-sorai peminat sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac.

Pun begitu, perancangan dari balik tabir tetap berlangsung rancak. Kontroversi juga tidak kurang riuhnya terutama membabitkan riadah berbasikal yang menjadi bahan bualan ramai.

Di Selangor, kemeriahan itu diganti dengan penganjuran e-sukan, cabang acara yang kian mendapat perhatian di seluruh dunia. Ketika PKP kejohanan Permainan Siber Selangor (SGC) edisi Piala Duduk Rumah berlangsung.

Pertandingan itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM40,000 anjuran Pejabat Menteri
Besar Selangor melalui Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan IO Esports dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

Sekalipun ia bertujuan menggalakkan orang ramai duduk di rumah, acara berkenaan menghidupkan suasana apabila menawarkan 512 slot dari seluruh negara.

e-Sukan jadi pilihan ramai Bagi kategori Mobile Legend Bang Bang (MLBB), Team Bosskurr muncul juara Kejohanan SCG 2020 apabila menewaskan Geek Fam 2-1 pada pusingan akhir.

NED Brotherhood pula mengungguli kategori PUBG Mobile dengan mengalahkan 16 pasukan lain. Penganjuran itu menyaksikan sebanyak RM36,488 dikutip dalam tempoh dua hari pertandingan.

Penganjuran sukan maya diteruskan dengan Selangor Xtiv Virtual e-Sport yang berlangsung sebanyak lapan fasa sehingga 31 Disember 2020.

Dengan hadiah keseluruhan RM46,000, pertandingan melibatkan permainan PUBG Mobile, MLBB, Call of Duty Mobile, Fifa 2021 dan Pro Evolution Soccer 2021. Selangor Xtiv Virtual juga diteruskan tahundepan selepas program julung kali merekodkan 178,081 penyertaan sejak dilancarkan pada Mei.

Program itu diiktiraf Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai satu-satunya negeri yang menganjurkan pertandingan sukan maya berskala besar.

Liga Sekerat Jalan

Pun begitu, peminat sukan tanah air tetap hampa berikutan banyak kejohanan utama terutama Liga Malaysia dibatal.

Mulanya, aksi bola sepak tempatan ditangguh enam bulan sebelum disambung semula 26 Ogos.
Kejohanan TM Piala Malaysia turut berlangsung secara kalah mati tetapi Shopee Piala FA dan Piala Cabaran dibatal.

Sambungan semula menyaksikan tiada penonton dibenarkan ke stadium. TM Piala Malaysia juga
diteruskan membabitkan 16 pasukan. Namun, kejohanan itu dibatal apabila pandemik memasuki gelombang ketiga.

Sesi latihan rasmi pasukan yang pertama dikendalikan oleh Ketua Jurulatih sementara Red Giants Michael Feichtenbeiner pada 22 September 2020. Skuad Selangor bakal menentang UITM FC di Stadium UITM Shah Alam, Sabtu ini. Foto: Facebook FA Selangor

Majlis Keselamatan Negara (MKN) kemudian memutuskan demikian selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat mulai 9 November hingga 6 Disember di seluruh semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.

Sungguhpun Liga Bolasepak Malaysia (MFL) merayu supaya keputusan itu dipertimbang semula tetapi pembatalan terus kekal. Kejohanan berakhir pada peringkat suku akhir.

Selain itu, skuad Harimau Malaya juga tidak beraksi selepas Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) mengumumkan kejohanan Piala AFF 2020 ditunda dari 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022 pada 7 Disember lalu.

Turut dibatalkan Sukan Olimpik di Tokyo sekalipun MKN memberi kelonggaran khas kepada 265 individu termasuk 57 atlet Road to Tokyo berlatih di tiga kem latihan berpusat.

Selangor FC

Sekalipun sukan paling popular itu ‘sunyi’, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sebaliknya rancak melakukan beberapa perubahan.

Penswastaan Selangor FC yang diluluskan secara rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 29 September menyaksikan perubahan pentadbiran.

Sumber Grafik: Facebook Selangor FC

Selangor FC kekal menggunakan logo sedia ada dengan ubah suai kecil iaitu menukar perkataan persatuan kepada kelab. Pengekalan reka bentuk sedia ada cukup bermakna berikutan ia begitu sebati dengan skuad Red Giants.

Dr Johan Kamal Hamidon dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif Selangor FC pada 1 Disember manakala Ketua Unit Pertandingan FAS, Muhammad Izrin Nabil diumum sebagai setiausaha agung FAS.

Selain itu, pemantapan pasukan giat dirancang antaranya:

– Karsten Neitzel dilantik sebagai ketua jurulatih baharu pada 16 November

– Penyerang kebangsaan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi diumum menyertai Selangor FC pada 8 Disember

– Bekas pemain Liga Bundesliga, Tim Heubach diumum pemain import baharu pada 12 Disember

– R Dinesh dan Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim diumum menyertai Selangor FC pada 15 Disember

Atlet Pelapis

Pembatalan Sukan Malaysia (SUKMA) pula merencatkan hasrat Selangor muncul juara keseluruhan dengan menyasarkan 45 emas, 40 perak serta 40 gangsa.

Sebaliknya, kejohanan dwitahunan yang dijadual antara 11 hingga 17 Julai, ditunda tiga kali.
Kementerian Belia dan Sukan kemudian memutuskan pertandingan bertujuan melahirkan atlet pelapis dibatalkan akibat gelombang ketiga Covid-19.

EXCO Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Khairuddin Othman menyerahkan cek cura kepada penerima bantuan pada Majlis Pelancaran dan Sidang Media Ceria Atlit Selangor pada 3 September 2020. foto MSN Selangor

Justeru, MSN Selangor merangka jadual baharu selain mengadakan kaunseling bagi memastikan atlet tidak patah semangat.

Malah, mereka merayu had usia SUKMA akan datang dinaikkan supaya atlet yang berlatih lebih dua tahun diberi peluang menyertainya. Sebelum ini, had umur bertanding bawah 21 tahun.


Pengarang :