Rodziah Ismail meneliti kesegaran ikan yang siap dibungkus di jualan segar dari ladang PKPS Prihatin di Pangsapuri Rimba Jaya, Shah Alam pada 30 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Pemilik kebun komuniti disaran jalin hubungan dengan PKPS

SHAH ALAM, 30 JAN: Pemilik kebun komuniti negeri ini disaran menjalin hubungan erat dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi meningkatkan pasaran hasil tani, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata kerjasama dengan agensi itu penting supaya proses rantaian bekalan dijalankan tanpa melibatkan orang tengah.

Jelas beliau, langkah itu mampu memenuhi permintaan pelanggan terhadap produk mereka dengan harga lebih murah berbanding pasaran biasa.

“Kita boleh bantu usahawan baharu misalnya dahulu hanya berminat dengan kebun komuniti tetapi sekarang hasil tani mereka diambil untuk dipasarkan kepada pengguna.

“Justeru, pemilik kebun komuniti yang ada produk segar boleh berhubung dengan PKPS agar mereka boleh bantu menjual barang tersebut,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau jualan segar dari ladang PKPS Prihatin bersama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga di pekarangan surau Pangsapuri Rimbajaya di sini hari ini.

Dipilih sebagai lokasi ketiga penganjuran, program lori prihatin diperkenal bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan makanan segar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kenderaan berkonsep kendera saji akan bergerak ke lokasi terpilih semua daerah mengikut jadual pada setiap hari kecuali Isnin bermula jam 8 pagi hingga 1 petang.


Pengarang :