Longgokan kayu dan ranting dipercayai dihanyutkan ombak ketika air pasang besar malam 1 Januari 2021 terdampar di Pantai Cherating. Kawasan yang seringkali dikunjungi orang ramai ini, terutama pada cuti umum dan hujung minggu kelihatan lengang ekoran cuaca kurang baik dan laut bergelora. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jangan himpun di pantai lihat air pasang besar – polis

KUALA NERUS, 2 JAN: Orang ramai diingatkan supaya tidak menjadikan fenomena air laut pasang besar sebagai satu ‘pesta’ untuk berkumpul di tepi pantai dan melihat keadaan ombak.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata hal ini kerana keadaan ombak yang kuat dan tinggi boleh berlaku secara tidak dijangka dan mengancam keselamatan.

“Di musim tengkujuh ini kita tahu bahawa pantai di kawasan negeri pantai timur bergelora. Namun di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus terdapat banyak pantai-pantai yang menjadi tumpuan orang ramai dan pengunjung dari luar Terenggganu. Mereka mungkin tidak tahu berada di tepi pantai pada waktu ini amat bahaya.

“Kalau tengok PBT (pihak berkuasa tempatan) pun ada pasang papan tanda amaran tidak benarkan mandi dan berenang. Jadi saya nasihatkan mereka tidak melakukan aktiviti tersebut, mahupun sekadar bermain di gigi air,” katanya kepada pemberita ketika meninjau kawasan yang terjejas susulan air laut pasang besar di Pantai Seberang Takir, di sini hari ini.

Dalam pada itu Abdul Rahim berkata pihak polis akan sentiasa memantau keadaan pantai di sepanjang Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, 24 jam sehingga keadaan cuaca kembali pulih.

Fenomena air laut pasang besar yang membadai sebahagian besar kawasan pantai di negeri ini sejak lewat malam Khamis telah menyebabkan air laut melimpah sehingga ke atas jalan raya seperti di Pantai Seberang Takir dan kawasan rumah seperti di Kuala Besut.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan angin kencang antara 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian melebihi 4.5 meter dijangka berlarutan sehingga Rabu (6 Jan) terutama di kawasan Kuala Terengganu.

– BERNAMA

 


Pengarang :