Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menanam pokok ke-18 jenis merbau di pekarangan Tugu Peringatan Selangor, Shah Alam sempena program Menanam 100 Juta Pokok 2021-2025 pada 5 Januari 2020. Foto Asri Sapfie
AGENDAALAM SEKITAR & CUACANASIONAL

Kempen tanam 100 juta pokok libat hingga 80,000 hektar kawasan

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Kempen Penanaman 100 juta Pokok pada sepanjang Rancangan Malaysia ke-12 bakal melibatkan kawasan seluas 20,000 hingga 80,000 hektar di seluruh negara.

Diterajui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), kempen itu akan menyaksikan kira-kira 20 juta batang pokok akan ditanam setiap tahun bermula 2021 hingga 2025.

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Mohd Ridza Awang berkata penanaman pokok akan meliputi kawasan darat, pesisiran pantai, paya laut dan kawasan gambut.

“JPSM juga akan menumpukan penanaman di kawasan bekas penerokaan haram, hutan terosot, kawasan banjir besar, hutan miskin yang tidak banyak pokok tumbuh secara semula jadi serta hutan yang digunakan untuk aktiviti-aktiviti yang dibenarkan seperti bekas kawasan penempatan kayu balak atau matau,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat JPSM baru-baru ini.

Antara pokok yang akan ditanam ialah merbau, meranti tembaga, merawan siput jantan serta spesies pokok nadir.

Beliau berkata peruntukan kempen sebanyak RM20 juta itu akan digunakan untuk penyediaan anak pokok, kerja penanaman, rawatan dan penyelenggaraan, menaik taraf tapak semaian serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Bagi memastikan sasaran tercapai, kerajaan turut menggalakkan penglibatan orang ramai termasuk sektor swasta, katanya.

Pemantauan terhadap pelaksanaan kempen yang bertemakan “Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita” itu akan dibuat menggunakan aplikasi Penghijauan Malaysia yang boleh dimuat turun melalui aplikasi telefon mudah alih atau capaian melalui laman web www.100jutapokok.gov.my .

Aplikasi dan capaian ini akan berfungsi sebagai penghitung yang merekodkan jumlah pokok yang ditanam sepanjang kempen.

“Jadi, orang awam yang menanam apa jenis pokok berkayu, tidak kira sama ada pokok landskap atau pertanian, boleh melaporkan tanaman mereka untuk direkodkan bagi tujuan pengiraan sekali gus meyumbang kepada jumlah sasaran sepanjang kempen,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Ridza berkata penanaman 100 juta pokok itu bagi mendukung komitmen yang dibuat oleh negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro 1992 dalam mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan.

Setakat 2019, seluas 18.27 juta hektar atau 55.3 peratus daripad keluasan tanah negara adalah kawasan berhutan dan seluas 4.81 juta hektar di Semenanjung Malaysia merupakan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang diwartakan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Mohd Ridza berkata kempen tersebut juga merupakan usaha menangani fenomena perubahan iklim di peringkat global yang semakin membimbangkan.

“Para saintis mengenal pasti hutan sebagai elemen penting dalam menangani sebarang perubahan iklim kerana proses fotosintesis pokok yang menyerap karbon dioksida di atmosfera mampu mengurangkan kesan rumah hijau,” katanya.

Sejak kempen dilancarkan pada 2010, sebanyak 72,167,890 batang pokok telah ditanam, melibatkan kawasan seluas 90,000 hektar di seluruh negara.

“JPSM berharap semua pihak termasuk badan bukan kerajaan, individu dan seluruh rakyat Malaysia dapat turut serta dalam menjayakan kempen ini bagi membantu mencapai sasaran menanam 100 juta pokok sekali gus menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :