PBTSELANGOR

MPS kutip bayaran beg plastik hampir RM300,000

SHAH ALAM, 29 JAN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengutip sebanyak RM292,513.50 bagi program Kutipan Caj Beg Plastik sepanjang tahun lalu.

Yang dipertuanya berkata 60 peratus daripada jumlah itu, RM175,508 disalurkan kepada Akaun Tabung Amanah Kerajaan Negeri selaras dengan Pekeliling Setiausaha Kerajaan Selangor, Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan (SPBT).

“Manakala 40 peratus lagi ke akaun tabung amanah ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk kegunaan program berkaitan alam sekitar,” kata Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor dalam kenyataan.

Beliau berkata MPS turut menetapkan syarikat membuat kutipan caj 20 sen beg plastik perlu mendaftar di bawah program berkenaan dan boleh berbuat demikian di laman sesawangnya.

Bermula 1 Januari tahun lalu, Kerajaan Negeri meluluskan pelaksanaan serahan kutipan caj beg plastik kepada PBT.

Sebelum ini, perkara tersebut diuruskan syarikat peruncit dan peniaga sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata langkah itu membolehkan hasilnya dipantau dan dimanfaatkan bagi pengurusan peruntukan menjayakan aktiviti berkaitan alam sekitar dengan lebih berkesan.


Pengarang :