AGENDAEKONOMINASIONAL

Pasaran getah diunjur catat dagangan kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Pasaran getah Malaysia diunjur terus menyaksikan dagangan kecil minggu depan berikutan sebahagian besar daripada peniaga masih belum memasuki pasaran susulan cuti panjang ketika ini.

Mantan Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata dagangan cenderung rendah berikutan kelemahan sentimen akibat perkembangan jangkitan kes Covid-19 yang terus melonjak di kebanyakan negara ketika ini.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran lebih lengang akibat minggu dagangan singkat serta musim cuti.

“Bagaimanapun, kita akan menyaksikan paras sokongan lebih kukuh bagi minggu-minggu akan datang dengan harga mungkin meningkat akibat faktor seperti cuaca dan kekurangan pengeluaran getah pada masa ini,” katanya kepada Bernama.

Menurut Low, pasaran juga dijangka akan menyaksikan pembetulan teknikal susulan jangkaan peningkatan semula permintaan, terutamanya bagi susu getah pukal.

Bagi asas perbandingan mingguan, SMR 20 susut 25 sen kepada 584.50 sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan 21 sen kepada 553.50 sekilogram.

Pada 5 petang Rabu lepas, harga rujukan fizikal Lembaga Getah Malaysia bagi SMR 20 adalah 588.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 556.50 sen sekilogram.

Pasaran ditutup pada 31 Dis, 2020 dan dan 1 Jan 2021 bersempena sambutan dan cuti umum Tahun Baharu 2021.

– BERNAMA

 

TAG:


Pengarang :