Tinjauan SelangorKini di Pasar Pagi MPSJ Bandar Puchong Jaya pada 16 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKP: Anwar gesa Putrajaya segera bantu golongan terkesan

SHAH ALAM, 12 JAN: Kerajaan perlu menyalur peruntukan segera sejumlah RM500 juta bagi meringankan beban golongan terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua pembangkang berharap bantuan tersebut akan mengelak lebih banyak perniagaan ditutup sekaligus menyebabkan ramai hilang pekerjaan serta dihempap kemiskinan.

“Banyak perniagaan seperti PKS atau IKS masih belum menerima subsidi upah dan perniagaan mereka di ambang penutupan kerana tidak lagi tertampung kesan pandemik.

“Selain itu kerajaan juga mesti segera melaksanakan semula moratorium pinjaman sehingga diberitahu kelak,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan.

Anwar turut mengingatkan kerajaan untuk menyalurkan bantuan segera kepada mangsa banjir di beberapa buah negeri.

“Pusat pemindahan sementara banjir perlu dipantau rapi selain mesti melaksanakan tatacara operasi piawai (SOP) ketat untuk mencegah kewujudan kluster baharu,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata rakyat berhak serta memerlukan kepimpinan lebih baik dan tegas dalam saat getir ini.

“Inilah masanya untuk menonjolkan kepimpinan yang bertanggungjawab dan kerajaan harus sedar dari berkhayal supaya keadaan tidak semakin memburuk,” katanya.


Pengarang :