Dunia kini berubah ke arah pendigitalan dan peralihan masyarakat tanpa tunai. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Sasar bimbing 3,000 individu suaikan diri dengan pendigitalan

SHAH ALAM, 30 JAN: Kerajaan Negeri menyasarkan seramai 3,000 individu dibimbing tahun ini bagi menyesuaikan diri terhadap pendigitalan.

EXCO pembangunan usahawan berkata inisiatif melalui Rakan Digital Selangor membantu peniaga dan warga emas memanfaatkan teknologi dalam urusan harian.

Rodziah Ismail menjangka program sebahagian Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri 2020 dengan kerjasama universiti awam dan badan bukan kerajaan dilancarkan bulan depan.

“Kita juga buka peluang kepada pengaruh media sosial atau pembimbing yang berminat untuk mendaftar di Facebook Usahawan Negeri Selangor bagi membantu golongan sasar,” katanya pada program bual bicara yang disiarkan di Facebook malam tadi.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga bertanggungjawab melaksanakan inisiatif membimbing usahawan melalui modul latihan bersesuaian.

“Kita akan mulakan di PBT berstatus bandar raya dan disusuli yang lain sehingga mampu mencapai bilangan peniaga yang disasarkan,” kata Rodziah.

Inisiatif Rakan Digital Selangor diperkenal bagi membantu warga emas dan peniaga kecil menyesuaikan diri terhadap pendigitalan dengan peruntukan RM3 juta.


Pengarang :