BERITA UTAMASELANGOR

Selangor catat 2,460 kes Covid-19, 12 kematian babit warganegara

SHAH ALAM, 31 JAN: Selangor mencatatkan penurunan jangkitan Covid-19 hari ini dengan 2,460 kes dan satu daripadanya merupakan jangkitan import, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu meliputi hampir separuh atau 46.4 peratus daripada keseluruhan 5,298 kes dalam negara.

“Sebanyak 1,907 iaitu 77.5 peratus jangkitan hasil saringan kontak rapat termasuk 159 kes dari dua kluster baharu manakala 522 kes dari lain-lain saringan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, 12 daripada 14 kematian direkodkan hari ini dilaporkan di negeri ini melibatkan warga tempatan berusia 36 hingga 87 tahun.

“Semua mempunyai sejarah penyakit kronik antaranya kencing manis, darah tinggi, jantung, buah pinggang dan epilepsy (sawan),” katanya.

Beliau menambah kluster Jalan Kewajipan dan Persiaran Sabak merupakan kluster tempat kerja di daerah Petaling.

“Kluster Jalan Kewajipan dikesan selepas saringan bersasar dijalankan di asrama sebuah kilang manakala Persiaran Sabak babitkan pekerja kilang di Shah Alam yang dikesan sejak 20 Januari lalu,” katanya.


Pengarang :