Ujian saringan dijalankan dengan teratur dengan adanya bantuan daripada pelbagai pihak. Foto: SELangkah
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

20 inisiatif jaya hadapi wabak

SHAH ALAM, 18 FEB: Sebanyak 20 inisiatif berbentuk bantuan, program ekonomi dan pendidikan disediakan dalam Pakej Kita Selangor bagi meringan beban rakyat menghadapi wabak Covid-19.

Pakej yang diumum pada 20 Januari antara lain pelupusan pinjaman pelajaran, bantuan makanan, mencipta pekerjaan, insentif warga tani dan pembelajaran percuma.

Dalam laporan kemajuan semua inisiatif tersebut, Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) pada 17 Februari memaklumkan Pusat Operasi C5i Smart Selangor (SSOC) akan memaparkan data pelaksanaannya.

SSOC dan Pusat Kecemerlangan Smart Selangor (CoE2) dibangunkan dengan kos keseluruhan RM7.5 juta bagi mengurus perkembangan semasa kes Covid-19. Kedua-duanya diumumkan dalam pakej berkenaan.

Setelah sebulan, enam inisiatif telah berjaya disempurnakan, antaranya pelupusan pinjaman pelajar sebanyak RM7.7 juta dan bantuan makanan RM1.6 juta selama dua minggu untuk petugas barisan hadapan.

Bantuan banjir ketika wabak di tiga negeri Pantai Timur berjumlah RM2 juta juga sudah disalurkan ke akaun Pahang, Terengganu dan Kelantan pada 25 Januari.

Kerajaan Negeri juga memberi pengecualian bagi Januari dan penangguhan bayaran dua bulan berikutnya kepada 2,365 penyewa rumah Projek Perumahan Rakyat dan rumah majlis dengan kesan kewangan RM1.1 juta.

Sementara 450 peserta Skim Smart Sewa dibenarkan menangguhkan kutipan bayaran selama tiga bulan bermula Januari dengan kesan kewangan RM630,050.

Penolong Pengarah Seksyen Agihan dan Pembangunan UPEN berkata bantuan disalur melalui anak syarikat Kerajaan Negeri, pusat khidmat masyarakat, pejabat Ahli Dewan Negeri dan agensi berkaitan.

Md Hasrul Faiz Borhanudin berkata sebahagian lagi inisiatif termasuk program pendigitalan dan keusahawanan terus lagi berjalan bagi menggerakkan pendapatan peniaga.

“Sebahagian bantuan disalur secara terus kepada golongan sasaran tetapi ada juga yang memerlukan pendaftaran,” katanya kepada SelangorKini pada 17 Februari.

Selain tiga pakej rangsangan tahun lalu, Pakej Kita Selangor digerakkan sebagai lanjutan program Kerajaan Negeri untuk menangani Covid-19 yang menjejaskan kesihatan dan pendapatan penduduk.

 


Pengarang :