Selangorkini
Bekas Timbalan Menteri Besar Selangor Datuk Abu Sujak Mahmud
AGENDA NASIONAL

Bekas timbalan MB Selangor, Abu Sujak meninggal dunia

SHAH ALAM, 11 FEB: Bekas Timbalan Menteri Besar Selangor Datuk Abu Sujak Mahmud, meninggal dunia di kediamannya di Seksyen 4, kira-kira pukul 6 petang tadi.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Kamaruzzaman Johari ketika dihubungi berkata, Allahyarham Abu Sujak, 82, meninggal dunia disebabkan sakit tua.

“Berita kematian itu dimaklumkan oleh anak saudara Allahyarham petang tadi. Difahamkan jenazah Allahyarham masih di rumahnya dan ziarah pada malam ini hanya untuk keluarga terdekat sahaja.

“Jenazah Allahyarham akan disolatkan di Surau Seksyen 4 esok, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Datuk Dagang, Kampung Jawa, Klang,” katanya.

Kamaruzzaman yang kali terakhir bertemu Allahyarham semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 lepas menyifatkan, Allahyarham sebagai seorang yang baik, suka menolong dan berpegang kuat kepada agama.

Allahyarham Abu Sujak yang merupakan anak jati Kampung Jawa, Klang memegang jawatan sebagai timbalan kepada bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib pada Nov 1989, sehingga Pilihan Raya Umum 1990.

Allahyarham juga menyandang kerusi Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang selama dua penggal bermula tahun 1986 hingga 1995, dan kemudiannya menjadi ADN Batu Tiga selama satu penggal sehingga tahun 1999, yang kesemuanya atas tiket Barisan Nasional.

Selain itu, Allahyarham juga merupakan datuk bandar Shah Alam yang pertama dilantik pada 10 Okt 2000.

– BERNAMA


Pengarang :