Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia Halimey Abu Bakar menyerahkan baucar kepada penerima ketika program Jom Kembali ke Sekolah anjuran Pusat Khidmat Rakyat DUN Seri Setia di Petaling Jaya pada 26 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

JPN disaran atasi isu tunggakan bil air PPR Lembah Subang 2

PETALING JAYA, 26 FEB: Jabatan Perumahan Negara (JPN) digesa menyelesaikan isu tunggakan bil air Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 di sini demi kebaikan penduduk.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia berkata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) tidak boleh dipersalahkan berikutan sudah menyerahkan lima notis peringatan kepada jabatan itu berhubung tunggakan bernilai lebih RM100,000.

“Pemakluman telah diberikan kepada JPN yang berada di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan namun tidak tahu di mana silapnya, bil berkenaan tidak dibayar sehingga mempunyai hutang lapuk.

“Bagaimanapun difahamkan, mereka sudah membuat bayaran bil terkini tetapi tunggakan itu masih belum selesai sepenuhnya,” kata Halimey Abu Bakar kepada SelangorKini selepas program Jom Kembali ke Sekolah di sini hari ini.

Pada 24 Februari lalu, beliau menggesa JPN menyelesaikan tunggakan itu bagi membolehkan bekalan air disambung semula di PPR Lembah Subang 2 yang dikendalikannya.

Tunggakan berkenaan membabitkan meter pukal yang digunakan untuk kemudahan awam seperti surau dan dewan.

Mengulas lanjut, wakil rakyat Seri Setia memaklumkan JPN akan mengadakan pertemuan bersama Air Selangor dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah berkaitan.

“Saya berharap ADN juga dapat terlibat dalam pertemuan itu memandangkan banyak masalah perlu diselesaikan membabitkan penduduk PPR Lembah Subang 2 antaranya isu lif sudah lama dikemukakan yang perlu diselesai segera,” katanya.


Pengarang :