Hee Loy Sian meninjau lokasi pembuangan bahan kimia di rizab Sungai Langat yang terletak di Taman Seri Reko, Kajang pada 3 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Sungai Langat hampir tercemar, tindakan pantas halang LRA dihenti tugas

KAJANG, 3 FEB: Tindakan pantas agensi penguatkuasa serta pihak berkuasa tempatan (PBT) berjaya mengekang henti tugas loji rawatan air (LRA) susulan penemuan 19 tong berisi 165 liter cecair kimia di tanah rizab sungai di Jalan Reko, dekat sini, kira-kira 10 meter dari Sungai Langat, semalam.

EXCO alam sekitar berkata cecair seakan bahan pelarut dan penipis cat ditemui kakitangan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) selepas menerima aduan orang awam terletak 13 kilometer (km) dari Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2 dan 24 km dari LRA Bukit Tampoi.

“Siasatan dilakukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di lokasi mendapati tumpahan cecair terbabit tidak mengalir masuk ke laluan Sungai Langat.

Pengambilan sampel dilakukan petugas Jabatan Alam Sekitar (JAS) di kawasan pembuangan bahan kimia di rizab Sungai Langat yang terletak di Taman Seri Reko, Kajang pada 3 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Susulan tindakan pantas yang diambil berjaya mengelakkan berlakunya henti tugas LRA. Bahan itu sepatutnya dilupuskan di kawasan ditetapkan selaras Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” kata Hee Loy Sian pada sidang media selepas meninjau lokasi berkenaan.

Menurutnya, pihak yang membuang cecair terbabit sudah dikenal pasti namun siasatan lanjut dijalankan sebelum tindakan diambil.

“Jika bersalah hukuman berat akan dikenakan mengikut Enakmen LUAS (Pindaan) 2020, sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak kurang RM200,000 dan tidak lebih RM2 juta.

“Pemberi maklumat akan diberikan ganjaran RM20,000 sekiranya pelaku ditahan dan dijatuhkan hukuman kerana mencemarkan sungai,” katanya.

 

 


Pengarang :