AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Air Selangor teruskan kerja selenggara paip, pemulihan bekalan

SHAH ALAM, 31 MAC: Kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu berdekatan kilang Carlsberg di Persiaran Selangor Seksyen 15 di sini sedang dalam proses menstabilkan sistem agihan bekalan air.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan setakat jam 6 pagi tadi masih belum ada kawasan di wilayah Petaling, Klang dan Shah Alam yang pulih sepenuhnya.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan,” menurutnya.

Air Selangor berkata pihaknya akan terus memaklumkan status bekalan air dari semasa ke semasa menerusi media massa, aplikasi, media sosial dan laman sesawang di http://www.airselangor.com .

Sebelum ini, dilaporkan penduduk di 30 kawasan di Shah Alam, Klang dan Petaling diminta bersedia menghadapi gangguan bekalan susulan kerja penyenggaraan paip di Persiaran Selangor Seksyen 15.

Air Selangor berkata gangguan bekalan air berjadual selama 48 jam berlaku mulai jam 9 pagi semalam dan dijangka pulih sepenuhnya pada waktu sama esok.


Pengarang :