AGENDANASIONAL

KEADILAN dakwa wakil rakyat keluar parti bukti ugutan PN

SHAH ALAM, 13 MAC: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mendakwa wujud usaha tersusun Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengugut wakil rakyat pembangkang untuk menarik sokongan.

Setiausaha Agungnya berkata tindakan itu jelas menunjukkan salah guna kuasa PN terhadap agensi Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Datuk Dr Xavier Jayakumar baru-baru memaklumkan SPRM menjadikan beliau sasaran siasatan selepas menahan setiausaha politik, pembantu peribadi dan beberapa kenalan beliau berkait satu kes yang sedang berjalan.

“Beliau kemudiannya dihubungi seorang menteri kanan yang menyatakan beliau perlu menyokong PN atau hadapi akibat yang serius,” dakwa Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, amat jelas kerajaan minoriti hari ini berlapik dengan alasan darurat dan menggantung Parlimen sambil pada masa sama berusaha mendapatkan sokongan lebih ramai ahli parlimen dengan taktik umpan habuan, tekanan dan ugutan.

Justeru, Saifuddin menggesa semua ahli parlimen KEADILAN kekal teguh dan istiqamah berpegang kepada prinsip dan landasan perjuangan reformasi tanpa tunduk dengan umpan habuan dan ugutan.

“KEADILAN dan Pakatan Harapan (PAKATAN) akan kekal dengan hala tuju sekarang yakni terus mempertingkat persiapan menuju PRU15 dan pada masa yang sama berusaha mengembalikan mandat rakyat sesuai kerangka undang-undang dan perlembagaan,” katanya.

Pada 5 Mac lalu, PAKATAN mengecam tindakan menjadikan agensi kerajaan sebagai senjata politik bagi tujuan tambah sokongan kerajaan minoriti Perikatan Nasional.

Menerusi kenyataan bersama, Majlis Presiden Pakatan berkata pihaknya difahamkan siri tindakan agensi termasuk SPRM, LHDN dan polis terhadap ahli parlimen pembangkang, pegawai serta ahli keluarga mereka.


Pengarang :